Ahad, 6 April 2008

PERKEMBANGAN PENDIDIKAN AGAMA DI KAMPUNG JERIMBONG DAN SEJARAH RINGKAS PENUBUHAN MAAHAD RAUDHAH AN-NAZIRIN JERIMBONG,KUALA BALAH, JELI, KELANTAN.

Perkembangan Pendidikan Agama.

Membaca Al Quran

Tiada satu pun pusat pengajian Al-Quran di kampung ini pada awalnya melainkan ianya diajar oleh ibubapa masing-masing. Mereka mengajar perkara-perkara yang diketahui berupa pengetahuan asas agama dan bacaan Al-Quran. Pada masa itu tiada palajaran tulisan yang diajarkan kepada anak-anak. Mereka hanya diajar mengenal huruf-huruf dalam Al-Quran dan menghafalnya. Ini dilakukan oleh ibubapa bagi menunaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak.

Pendidikan di rumah ini akhirnya mengalami perubahan akibat daripada kemasukan unsur-unsur pendidikan dari luar. Diantara masyarakat kampung, ada di antara mereka yang ingin berkhidmat untuk mengajar mengaji Al Quran kepada kanak-kanak tempatan, kerana itu munculnya kelas-kelas mengaji Al Quran. Keadaan ini tentunya meringankan ibubapa dalam mengajar anak-anak untuk membaca Al Quran, tambahan pula mereka selalu kepenatan selepas bekerja berat pada waktu siang. Kelas-kelas membaca Al Quran ini diadakan di umah-rumah guru. Hanya pelajaran membaca Al Quran sahaja diajarkan manakala pelajaran lain masih lagi menjadi tugas ibubapa.

Pelajaran diadakan setiap hari kecuali hari Jumaat.Terdapat tiga sesi pengajian iaitu pada waktu pagi, petang dan malam. Bilangan pelajar setiap kelas tidaklah ramai iaitu antara 20-30 orang ini. Umur kanak-kanak yang mengikuti pelajaran ini adalah diantara 7-20 tahun. Mereka mula belajar dari Muqaddam dan menitikberatkan soal-soal ejaan dan kelancaran membaca. Kanak-kanak yang telah tamat pengajian mereka biasanya akan mengadakan Majlis Khatam Al-Quran. Majlis khatam ini biasanya dilakukan dengan membawa ayam panggang dan buah-buahan ke rumah guru bagi mengesahkan yang seseorang itu telah lulus atau tamat membaca Al Quran dan tiada sebarang bayaran yang dikenakan atas usaha tersebut.

Pelajaran Fardu Ain.

Kelantan yang terkenal sebagai pusat agama Islam pada awal kurun ke-20 dan ramai tokoh-tokoh ulama dilahirkan pada masa ini. Justeru itu terdapat penduduk tempatan yang pergi belajar ilmu agama dengan tokoh-tokoh ulama’ ini di pondok-pondok di Kota Bharu dan lain-lain tempat. Sekembalinya mereka ke kampung, mereka yang berkebolehan telah mengambil inisiatif mengajar ilmu-ilmu keagamaan yang telah di perolehi. Hasilnya, dari sokongan dan kehendak penduduk tempatan mereka mula mengajar di surau dan tidak lagi di rumah. Pada peringkat permulaannya mereka hanya mengajar pada orang-orang dewasa atau ibubapa disebelah malam iaitu satu atau dua kali dalam seminggu. Antara guru-gurunya yang terkenal iaitu Tok Ma’arif dan Haji Mat Lazim.

Pelajaran yang diberikan mulai berubah di samping mengajar membaca Al Quran. Kanak-kanak juga diajarkan perkara-perkara Fardu Ain. Perkara-perkara ini meliputi pelajaran-pelajaran asas Tauhid, Feqah dan cara-cara sembahyang. Pada masa ini kanak-kanak belum lagi diajar menulis tapi hanya mendengar syarahan yang disampaikan oleh guru mereka.

Sistem pendidikan baru ini tidaklah menjejaskan pengajian Al Quran. Ini kerana pengajarannya hanya satu atau dua kali dalam seminggu. Pada waktu-waktu yang lain kanak-kanak boleh belajar mengaji Al Quran. Tambahan pula kanak-kanak perempuan jarang mengikuti kelas tersebut kerana ibubapa beranggapan bahawa kanak-kanak perempuan tidak perlu belajar lebih mendalam sebab mereka tetap menjadi surirumah juga.

Ceramah


Sebelum tertubuhnya Madrasah ini, penduduk kampung ini juga mendapat pelajaran agama melalui ceramah-ceramah agama yang diadakan. Penceramah-penceramah ini dijemput dari luar terutama dari Kota Bharu dan Patani (Selatan Thai). Penceramah ini diundang khas untuk memeriahkan “majlis makan beras baru”. Majlis ini diadakan secara besar-besaran di mana dua atau tiga penceramah telah diundang untuk memberikan ceramah agama.

Untuk menyediakan majlis ini, penduduk kampung ini secara gotong-royong akan mengadakan kenduri dengan menyembelih lembu dan mengadakan pentas khas untuk penceramah. Majlis ini dimulakan selepas sembahyang Maghrib dan selesai menjelang tengah malam.

Majlis ceramah juga diadakan apabila tiba hari kebesaran Islam seperti Awal Muharam, Maulud Nabi dan lain-lain. Majlis seumpama ini telah memberikan penduduk semangat dan asas pelajaran Agama Islam. Ini terbukti melalui sikap mereka terhadap tertubuhnya Madrasah dengan sokongan yang tidak berbelah bagi untuk memaju dan memperkembangkan Agama Islam di kawasan ini.

Tiada ulasan: